am@hmetro.com.my
Jeli: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap tiga ekor gajah liar di Kampung Kuala Balah, di sini, semalam.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan dibuat oleh Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan hasil aduan penduduk mengenai gangguan gajah liar menyebabkan kemusnahan tanaman dan harta benda.
“Operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang dan kakitangan Perhilitan Kelantan.
“Tindakan bagi mengurangkan konflik di kawasan berkenaan dijalankan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun supaya mengambil langkah mitigasi seperti memasang lampu LED biru di laluan masuk gajah ke kebun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tangkapan dan pemindahan gajah liar bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Stong Utara.
“Justeru, pekebun dinasihatkan mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah atau SPEG bagi mengurangkan gangguan.
“Pembinaan SPEG adalah salah satu kaedah paling berkesan bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan,” katanya.
Katanya, sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




