am@hmetro.com.my
Kangar: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dari PAS Perlis yang ditamatkan keahlian parti mereka serta merta bermula semalam dikehendaki memulangkan semula segala aset milik kerajaan negeri yang digunakan oleh mereka ketika menjawat tugasan sebagai ADUN mahupun Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Aset berkenaan termasuk kereta kerajaan negeri serta aset lain yang masih dalam simpanan atau digunakan ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim yang menjadi fokus pada kemelut dalaman PAS yang membawa kepada penarikan sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Speaker DUN, Rus’sele Eizan berkata, pihaknya akan maklumkan kepada ADUN berkenaan termasuk salah seorangnya yang bertugas sebagai Exco Kerajaan Negeri Perlis.
“Ya, kita menyedari hal ini dan pihak DUN akan maklumkan kepada ADUN berkenaan untuk segera memulangkan aset kerajaan negeri yang masih digunakan atau berada dalam pemilikan mereka,” katanya ringkas selepas mengumumkan pengosongan kerusi di tiga DUN berkenaan kepada pemberita di Pejabat Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama juga, Rus’sele menjelaskan bahawa pihaknya akan menghantar notis kekosongan kerusi tiga DUN berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari bagi penilaian untuk dilaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Saya akan bincang dengan Setiausaha DUN dan notis ini perlu diserahkan dalam tempoh 21 hari jadi nanti kita lihatlah dalam tempoh ini kita akan serahkan notis ini kepada SPR.
“Dalam hal ini, kita hanya menjalankan tanggungjawab kita terhadap parti sama ada akan dilakukan PRK atau tidak, itu terpulang kepada SPR dan bukan kerajaan negeri yang akan menentukan berlakunya PRK,” katanya.
Semalam, tiga ADUN PAS di Perlis dihentikan keahlian dalam parti berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa usaha menyingkirkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Ini selepas mereka termasuk lima lagi ADUN Bersatu menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




