3 anak maut dalam kebakaran selepas ditinggalkan Ibu

3 anak maut dalam kebakaran selepas ditinggalkan Ibu

KENDARI – Tiga kanak-kanak prasekolah maut dalam satu kejadian kebakaran rumah di Jalan Suprapto, Kelurahan Punggolaka, Kecamatan Puuwatu, Kendari, Sulawesi Tenggara pada petang Selasa.

Tragedi menyayat hati itu berlaku sekitar jam 2.21 petang (waktu tempatan) ketika ibu mangsa keluar membeli makanan bersama teman lelakinya, meninggalkan keempat-empat anaknya yang masih kecil bersendirian di rumah.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Mandonga, Inspektor Andry Irwanto, dua mangsa – ZK, satu tahun, dan NJ, dua tahun – maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi, NW, dua tahun, meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat 70 peratus luka melecur di Hospital Hermina Kendari.

“Seorang lagi mangsa, SN, empat tahun, kakak kepada ketiga-tiga mangsa, masih dirawat di hospital akibat kecederaan terbakar,” katanya kepada media pada Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kendari, Martoyo Awaludin, memaklumkan bahawa dua jentera bomba dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat awam berhubung kebakaran tersebut.

Siasatan awal mendapati keempat-empat kanak-kanak tersebut tinggal bersama ibu tunggal mereka yang dikenali sebagai AD. Ketika kejadian, AD dikatakan keluar bersama teman lelakinya, SK, untuk membeli makanan serta mengisi minyak motosikal.

“Sebaik pulang, mereka mendapati rumah telah dipenuhi asap. SK cuba masuk untuk menyelamatkan mangsa, namun api telah marak hingga ke bahagian siling,” jelas Andry.

Siasatan polis masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. Namun, menurut beberapa saksi, meter elektrik rumah tersebut sering mengalami gangguan.

“Maklumat awal mendapati kotak meter elektrik rumah itu kerap jatuh, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” tambahnya.

Insiden ini mencetuskan kemarahan ramai netizen yang mempertikaikan tindakan ibu mangsa kerana meninggalkan anak-anak kecil tanpa pengawasan, malah ada yang mendesak agar siasatan dijalankan terhadap unsur kecuaian. – Agensi

Scroll to Top