3 beradik antara enam didakwa cederakan orang dengan parang

3 beradik antara enam didakwa cederakan orang dengan parang

am@hmetro.com.my

Seremban: Enam lelaki termasuk tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menyebabkan cedera parah menggunakan parang terhadap tiga lelaki di hadapan sebuah restoran di Lukut, Port Dickson, bulan lalu.

Tertuduh, K A Yogentheran, 31 (pekebun), K A Kugentheran, 26 (bekerja buruh) K A Sinielkumar, 24 (kelindan lori), S Sathia Moorthy, 29 (kerja sambilan), K Muniswaran, 21 (kelindan lori) dan A Shelan, 27 (juruteknik) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan.

Kesemua mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap tiga lelaki berusia 36, 31, dan 43 tahun dengan menetaknya menggunakan senjata parang yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Kesalahan dilakukan pada 8 malam, 27 Disember 2025 di hadapan restoran di Bandar Baru Lukut, Taman Aman, Port Dickson dan mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, serta tidak mengganggu mangsa dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 11 Mac depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top