OSLO: Polis Norway pada Rabu berkata, tiga beradik telah ditahan kerana disyaki melakukan pengeboman pengganas selepas satu letupan hujung minggu berlaku di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Oslo, yang menyebabkan kerosakan kecil tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Pendakwa raya polis, Christian Hatlo memberitahu sidang media bahawa tiga beradik itu, yang merupakan warganegara Norway berketurunan Iraq, telah ditahan di Oslo dan polis sedang menyiasat motif kejadian.
“Kami masih meneliti beberapa hipotesis. Salah satunya ialah sama ada ini merupakan arahan daripada entiti kerajaan,” kata Hatlo.
“Ini agak wajar memandangkan sasaran serangan ialah Kedutaan Amerika dan juga situasi keselamatan dunia pada masa ini,” tambahnya.
Hatlo berkata, siasatan akan cuba menjelaskan peranan sebenar setiap seorang daripada tiga beradik itu, yang semuanya berusia dalam lingkungan 20-an.
“Kami percaya salah seorang daripada mereka ialah individu yang meletakkan bom di luar kedutaan dan dua yang lain bersubahat dalam perbuatan itu,” kata Hatlo kepada wartawan.
Oystein Storrvik, peguam kepada salah seorang suspek, memberitahu stesen televisyen TV 2 Norway bahawa anak guamnya telah mengaku terlibat dalam kes tersebut.
Letupan itu berlaku sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan pada Ahad di pintu masuk bahagian konsular kedutaan tersebut. – AFP



