suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Robohkan tiga struktur gerai makanan dan minuman haram selain mengeluarkan notis kompaun terhadap penjaja tanpa lesen di sekitar Bukit Bintang, di sini.
Itu antara tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap peniaga dan pemilik premis yang gagal mematuhi notis pengosongan tapak dikeluarkan DBKL mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Jurucakap DBKL berkata, tindakan itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor Sdn. Bhd. dan Alam Flora Sdn. Bhd semalam.
“Tindakan meroboh tiga struktur gerai makanan dan minuman serta memindahkan peralatan perniagaan dilaksanakan selepas pemilik struktur premis enggan patuh dengan arahan.
“DBKL turut mengeluarkan empat notis kompaun ke atas penjaja tanpa lesen warga tempatan dan kepada pemilik perniagaan yang tidak mematuhi syarat lesen termasuk membuat halangan di kawasan laluan awam.
“Ia membabitkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya tadi.
DBKL berkata, barangan dan peralatan perniagaan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk rekod dan dokumentasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




