3 individu ditahan di Makkah atas penipuan haji

3 individu ditahan di Makkah atas penipuan haji

Makkah: Peronda keselamatan di Makkah menahan tiga pemastautin Indonesia kerana disyaki mendalangi satu skim penipuan di media sosial yang membabitkan iklan kempen haji palsu, yang menawarkan perkhidmatan penginapan dan pengangkutan yang tidak wujud untuk jemaah di kawasan tanah suci.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), suspek ditahan dan prosiding undang-undang dimulakan terhadap mereka sebelum dirujuk kepada Pendakwa Raya.

Keselamatan Awam Arab Saudi menggesa rakyat dan pemastautin untuk mematuhi peraturan dan garis panduan rasmi berkaitan haji.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengeluarkan amaran terhadap kempen haji palsu, pejabat tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan kepada jemaah, serta iklan yang mengelirukan.

Kementerian itu menekankan kepentingan mematuhi peraturan dan arahan haji yang dirangka bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan jemaah, membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan lancar dan aman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top