Johor Bahru: Kementerian Digital menggariskan tiga inisiatif utama bertujuan memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, sebagai langkah menjadikan negara sebagai hab serantau bagi inovasi AI menjelang 2030.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, inisiatif berkenaan ialah Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2026-2030, Kod Etika AI, dan penubuhan Pusat Kecemerlangan AI yang khusus.
Beliau berkata, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan, yang pada asalnya dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, berfungsi sebagai rangka kerja strategik untuk membimbing penggunaan dan inovasi AI dalam sektor ekonomi utama.
“Pelan hala tuju ini menggariskan dasar dan strategi yang komprehensif untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh daya saing negara. Matlamat kami ialah meletakkan Malaysia sebagai hab AI terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030,” katanya pada Festival AI dan Robotik 2025 (AirFest 2025) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.
Beliau berkata Kod Etika AI pula akan menjadi panduan penting untuk memastikan penggunaan teknologi AI yang bertanggungjawab dan beretika, khususnya dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pengangkutan, pertanian, pendidikan, perkhidmatan awam, serta perusahaan kecil dan sederhana.
Inisiatif ketiga, iaitu Pusat Kecemerlangan AI katanya, ditubuhkan bertujuan mempercepat integrasi AI di seluruh negara, terutamanya dalam sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
“Pusat ini akan menumpukan kepada proses strategi pelaksanaan untuk memaksimumkan kesan AI terhadap ekonomi dan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, festival berkenaan menghimpunkan penyelidik, peneraju industri, dan penggubal dasar untuk meneroka potensi transformasi AI menerusi forum, pameran, pertandingan dan sesi latihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


