3 jam berpaut pada gabus

3 jam berpaut pada gabus

Jakarta: Kapal KM Cahaya Intan Celebes yang membawa 20 orang dilaporkan tenggelam di Teluk Bone, perairan Boepinang, Kabupaten Bombana, Sulawesi Tenggara, semalam, lapor Kompas.

Kapal yang membawa 13 penumpang dan tujuh kru itu karam kira-kira tiga jam selepas perjalanan dari Pulau Basah Boepinang.

Sebelum kejadian, kapal berkenaan dilaporkan bertolak dari Bajoe, Sulawesi Selatan menuju ke Pelabuhan Boepinang, Sulawesi Tenggara.

Dalam perjalanan, kapal itu mengalami kebocoran selepas dipukul ombak sehingga dimasuki air.

Akibat kejadian, puluhan penumpang dilaporkan terumbang-ambing di tengah laut menunggu bantuan tiba.

Berdasarkan rakaman video amatur yang tular, mangsa terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan beberapa lelaki yang cuba menyelamatkan diri.

Mereka terpaksa berpegangan pada kepingan gabus dan alat pelampung lain di tengah laut dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Selain membawa penumpang, kapal itu turut memuatkan beberapa unit motosikal, makanan haiwan ternakan serta barangan keperluan harian.

Komandan Pos Pencarian dan Penyelamatan (SAR) Kolaka, Haeruddin ketika dihubungi mengesahkan insiden itu berpunca daripada cuaca buruk.

Katanya, kapal berkenaan mengalami kebocoran selepas dipukul ombak ketika dalam perjalanan menuju ke Kecamatan Poleang.

Dengan berbekal potongan gabus seadanya, semua mangsa berjaya bertahan selama tiga jam sebelum diselamatkan oleh kapal nelayan.

Kesemua mangsa yang terselamat kini dirawat di Puskesmas Boepinang, Kecamatan Poleang untuk memastikan keadaan kesihatan mereka stabil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top