3 kanak-kanak antara 6 parah kereta bertembung 4WD

3 kanak-kanak antara 6 parah kereta bertembung 4WD

am@hmetro.com.my

Kanowit: Tiga kanak-kanak antara enam parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jambatan Kanowit di Jalan Kanowit-Song, dekat sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada 2.20 petang.

“Sebaik tiba, didapati dua mangsa wanita dewasa tersepit di di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan manakala seorang kanak-kanak lelaki tersepit di tempat duduk penumpang belakang.

“Tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki sudah dikeluarkan orang awam,” katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kanowit bagi rawatan lanjut.

“Sejurus selesai menjalankan kerja-kerja menyelamat, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa tumpahan minyak sebelum menamatkan operasi pada 3.56 petang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top