firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga kelab termasuk dari Korea Selatan, Seoul Phoenix FC masih berpeluang memeriahkan saingan Liga A1 Semi Pro apabila masing-masing diberi tempoh lanjutan sehingga 15 Jun ini.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang mengakui bersedia menambah bilangan pasukan bertanding sekiranya ketiga-tiga kelab terbabit berjaya menyelesaikan dokumen tambahan yang diminta.
Katanya, setakat hari ini hanya 12 pasukan sudah disahkan bakal bersaing di Liga A1 Semi Pro pada musim 2025/2026 yang akan membuka tirainya pada bulan depan.
“Tiga pasukan tersebut ialah Kedah Darul Aman (KDA), Guar Syed Alwi (GSA FC) dan Seoul Phoenix FC (Korea Selatan) yang berpengkalan di Lembah Klang.
“Mereka diberikan tempoh 10 hari (6 Jun – 15 Jun 2025 ) untuk melengkapkan beberapa kriteria/dokumen yang diperlukan.
“Perancangan kita sebelum ini untuk mendapatkan sehingga 14 Pasukan yang bakal bersaing. Jika semua atau ada di antara mereka berjaya mendapatkan kelulusan penuh maka akan bertambah bilangan pasukan.
“Jika tidak, AFL tiada masalah untuk meneruskan dengan 12 Pasukan yang sememangnya telah bersedia,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini berjaya membuat pendedahan berkenaan penyertaan Seoul Phoenix FC dalam saingan tempatan sekali gus muncul kelab Korea Selatan pertama dalam liga tempatan.
Untuk rekod, pada musim lalu, Melaka FC dinobatkan selaku juara manakala Imigresen FC di tempat kedua yang memastikan kedua-dua pasukan ini layak secara merit untuk beraksi di pentas Liga Super musim 2025/2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




