harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Tiga kereta dan dua gerai rosak akibat letupan tong gas helium di sebuah medan selera di Sungai Ramal, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari membabitkan tong gas helium digunakan untuk belon.
“Akibat letupan itu, dua gerai rosak teruk serta tiga kenderaan mengalami pelbagai kerosakan namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku.
“Siasatan setakat ini mendapati kejadian tidak membabitkan sebarang unsur jenayah sementara punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca letupan.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Ketua Polis Balai Kajang, Inspektor Shisheewady Ruzani di talian 0168565670.
Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata tong gas berkenaan diletakkan dalam stor berkeluasaan 0.92 meter persegi (m²).
Katanya, letupan mengakibatkan kerosakan 30 peratus pada sebuah Proton Wira, Perodua Axia dan Myvi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




