3 kontena kayu import dirampas

3 kontena kayu import dirampas

bhnews@bh.com.my

BUTTERWORTH: Tiga kontena yang membawa masuk 83.966 meter kubik (MTQ) muatan kayu bergegaji (sawn timber) bernilai lebih RM500,000 dari Australia dan Hungary ditahan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, semalam.

Penahanan kontena itu dilakukan pada jam 5.32 petang oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang.

Pengarah MAQIS negeri, Noriah Dahlan, berkata pemeriksaan rutin mendapati tiga kontena yang masuk ke pelabuhan membawa muatan spesis kayu bergegaji sebanyak 83.966 MTQ yang dianggarkan bernilai RM500,191.16.

“Pemeriksaan juga mendapati dagangan diimport dari negara Australia dan Hungary itu gagal mematuhi syarat yang dinyatakan pada permit import yang diluluskan oleh MAQIS.

“Oleh itu, semua kayu itu dirampas untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 15(2) akta sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top