Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini membuka tiga lorong tambahan di Plaza Tol Rawang Selatan (Exit 115), yang dijangka dapat melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan, khususnya bagi pengguna menuju ke Gamuda Gardens dan Kundang.
Menurut PLUS, dengan purata trafik harian mencecah hampir 29,000 kenderaan, pembukaan lorong berkenaan dijangka mampu menyuraikan antara 14 hingga 19 peratus trafik sedia ada pada waktu puncak.
“Dengan adanya tiga lorong tambahan di plaza tol ini, aliran trafik dapat diagihkan dengan lebih baik, sekali gus menjimatkan masa perjalanan, mengurangkan tekanan dan memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya,” menurut kenyataan PLUS hari ini.
Langkah itu bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti sekitar Gamuda Gardens, malah turut memanfaatkan penduduk di kawasan berhampiran seperti Rawang, Kundang dan Sungai Buloh, serta pengguna harian Lebuhraya Utara-Selatan secara keseluruhan.
PLUS turut memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan merupakan hasil kerjasama erat serta sokongan berterusan daripada Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kerja Raya, pihak pemaju Gamuda Berhad dan PLUS sendiri.
“PLUS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas komitmen dan kepercayaan yang diberikan,” menurut kenyataan itu lagi.
Sementara itu, PLUS menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa pembangunan infrastruktur lebuh raya serta kemudahan fasiliti, selari dengan nilai korporat syarikat yang mengutamakan aspek keselesaan, keselamatan dan kelestarian komuniti di sepanjang jajaran lebuh raya kendaliannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd