3 maut, 4 parah dalam kemalangan di Sri Aman

3 maut, 4 parah dalam kemalangan di Sri Aman

am@hmetro.com.my

Sri Aman: Tiga maut manakala empat parah dalam kemalangan membabit kereta Perodua Viva dan Proton Saga di Jalan Sri Aman-Engkelili petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata sepasukan anggota bomba darj Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat serta mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 6.34 petang.

Menurutnya, mangsa yang maut adalah pemandu Viva dikenali sebagai Carlos Nelson, 22, dan dua penumpang Pauline Simba Jua, 34 dan Elizabeth Jua, 33.

“Semasa dikeluarkan oleh pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, Elizabeth berada dalam keadaan tidak sedarkan diri namun disahkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Engkelili.

“Seorang lagi penumpang dalam kereta berkenaan iaitu lelaki berusia 38 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan kritikal,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, tiga lagi mangsa yang kesemuanya lelaki yang menggunakan kereta Proton Saga juga turut mengalami kecederaan parah.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman manakala mayat mangsa yang terkorban diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.

Impak pertembungan yang cukup kuat antara dua kereta ini turut mengakibatkan bahagian hadapan kedua-dua kenderaan mengalami remuk teruk.

Punca yang menyebabkan berlakunya insiden pertembungan ini bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd