am@hmetro.com.my
Kulai: Tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kereta di Jalan Senai – Seelong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.15 petang.
Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki warga
tempatan berusia 68 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah lori.
“Kereta yang membawa tiga penumpang wanita berusia antara 65 tahun hingga 87 tahun itu dilanggar dari belakang oleh sebuah lori yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 46 tahun.
“Dua kenderaan itu kemudian terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi lori
yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi pemandu lori dan seorang penumpang kereta dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, pemandu serta dua lagi penumpang kereta dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi rawatan lanjut.
Tan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




