am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Tiga lelaki maut selepas Isuzu D Max dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan minyak sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di sini, malam tadi.
Kemalangan ngeri itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Identiti mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu Isuzu D Max itu, Mohd Azizi, 28; Muhammad Zulkhairi Ismail, 29, (penumpang belakang) dan Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, (penumpang hadapan).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.52 malam.
Katanya, 12 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler muatan minyak sawit dan Isuzu D Max.
“Tiga mangsa lelaki ditemukan tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemandu treler lelaki berusia 61 tahun cedera dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.40 tengah malam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd