3 parah, bayi cedera, kereta bertembung motosikal

3 parah, bayi cedera, kereta bertembung motosikal

am@hmetro.com.my

Tawau: Tiga individu parah manakala seorang bayi 18 bulan hanya cedera ringan selepas sebuah kereta dinaiki melanggar lampu isyarat oren sebelum bertembung dengan sebuah motosikal di persimpangan Jalan Damai, Batu 1, Jalan Apas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, kereta jenis Proton Saga FLX dipandu wanita berusia 21 tahun bersama anak saudaranya, bayi berusia 18 bulan terbabas sejurus pelanggaran, lalu merempuh pagar bengkel dan sebuah Subaru XV yang diparkir.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Batu 8 menuju ke pusat bandar manakala motosikal dari arah bandar ke Kampung Titingan.

Menurutnya, siasatan juga mendapati penunggang motosikal bersama pembonceng masing-masing berumur 20 dan 18 tahun bergerak ke persimpangan walaupun lampu isyarat belum bertukar hijau.

“Pada masa sama pemandu kereta terbabit dipercayai memandu dalam keadaan laju walaupun lampu sudah bertukar oren lalu bertembung dengan motosikal di tengah persimpangan.

“Akibat impak kuat, penunggang dan pembonceng motosikal terpelanting sebelum tercampak ke atas jalan raya menyebabkan kedua-duanya termasuk pemandu kereta mengalami kecederaan parah, manakala bayi terbabit hanya cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top