3 pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV

3 pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV

am@hmetro.com.my

Dungun: Tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan di Kampung Sura Hujung, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam, empat pelajar yang menunggang dua motosikal dirempuh sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu oleh seorang wanita.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, adalah pelajar jurusan Ijazah Perhotelan manakala Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dan Mohd Akhmal Tukirin, 20, kedua-duanya pelajar Ijazah Perakaunan.

Rakan mereka yang parah dikenali sebagai Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20.

Kesemua mangsa yang menunggang dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Y15.

Ketika kejadian, kesemua mangsa baru selesai makan malam di sebuah kedai makan berhampiran universiti berkenaan.

Kedua-dua motosikal tersebut dipercayai dirempuh di bahagian belakang oleh Honda CRV tersebut.

Rempuhan terbabit menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke dalam longkang dan ketiga-ketiga mangsa maut di tempat kejadian.

Kenderaan itu pula terbabas ke dalam longkang di situ .

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, pihaknya terima panggilan kira-kira jam 7.26 petang bersama 10 anggota dan dua EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat seorang mangsa yang terjatuh ke dalam longkang itu dibawa naik anggota bomba.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top