nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Tiga pemandu bas ekspres didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baru Cuba 2026.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Operasi JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi, berkata tiga kes berkenaan masing-masing dua di Seremban, manakala satu di Melaka.
Katanya, pemandu berkenaan berusia antara 38 hingga 47 tahun dan kesemua mereka diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.
“Kita menjalankan ujian air kencing terhadap 381 pemandu secara rawak sejak 9 sehingga 16 Februari.
“Daripada jumlah berkenaan kita mendapati tiga pemandu terbabit positif dadah.
“Ujian berkenaan akan dilakukan secara berterusan sepanjang Ops TBC 2026 yang berakhir Ahad depan,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan sempena Ops TBC 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, malam ini.
Beliau berkata, sebanyak 4,242 bas sudah diperiksa membabitkan pemeriksaan di depoh dan terminal meliputi kesemua jenis bas dalam tempoh lapan hari.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 779 slip pemeriksaan dikeluarkan manakala dua bas disita kerana ketidakpatuhan terhadap keperluan keselamatan dan perundangan ditetapkan.
“JPJ turut melaksanakan operasi penyamaran sebagai penumpang bas yang menjadi antara strategi penguatkuasaan bagi memantau tahap pematuhan undang-undang.
“Usaha ini bertujuan bagi memastikan semua bas yang beroperasi berada dalam keadaan selamat dan mematuhi piawaian teknikal serta syarat lesen pengendali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




