am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Tiga penjawat awam, termasuk seorang pensyarah, antara 1,251 individu yang ditahan pada Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan yang dijalankan selama dua minggu bermula 26 Mei sehingga 8 Jun.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun yang juga pensyarah universiti tempatan ditahan pada sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang Jeli, jam 10.30 malam, 2 Jun lalu.
Katanya, suspek ditahan bersama empat lagi rakan kerana dipercayai memiliki 0.95 liter air ketum selain ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif Benzo.
“Manakala suspek kedua adalah pembantu awam berusia 27 tahun. Dia ditahan pada 4 Jun di Kubang Kerian, kerana positif Methamphetamine selain mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.
“Suspek ketiga pula adalah pemandu. Dia dipercayai memiliki 14.5 liter air ketum dan ditahan di kediamannya di Taman Wangi Gua Musang, jam 5 petang, pada 7 Jun.
“Kesemua penjawat awam berkenaan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Pada perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM247,229.92 dalam tempoh operasi berkenaan membabitkan antaranya pil kuda, heroin, ganja dan syabu.
“Kesemua yang ditangkap berumur 15 tahun hingga 62 tahun terdiri daripada 1,227 lelaki dan 24 perempuan.
“Jumlah dadah dirampas boleh digunakan 12,966 penagih,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd