am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tiga remaja lelaki maut, manakala tiga yang lain cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting, Kuala Langat dekat sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.56 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, bomba dapati kemalangan membabitkan Toyota Corolla yang dipercayai terbabas ke dalam parit.
“Siasatan mendapati, ada enam mangsa iaitu remaja lelaki dipercayai semua warga tempatan, berada dalam keadaan bertindih di dalam kenderaan berkenaan.
“Bomba mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan semua mangsa iaitu bermula 4.20 pagi, sehingga mangsa keenam (dikeluarkan) pada 5.15 pagi sebelum dihantar ke Hospital Banting,” katanya kepada media.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa pertama, kedua dan kelima yang dikeluarkan didapati mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, tangan juga kaki, manakala mangsa ketiga, keempat dan keenam meninggal dunia di lokasi kejadian.
“(Identiti) empat daripada enam remaja terbabit dikenal pasti. Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15, dan Muhammad Danish Farhan Alias, 19, kedua-duanya mangsa yang cedera, manakala, dua lagi Muhammad Adib Anuar, 16 dan Hariz Nazri, 19, pula meninggal dunia.
“Dua lagi mangsa belum dikenal pasti. Operasi bomba tamat pada 6.15 pagi,” katanya.
Sementara itu, media masih menunggu pengesahan dan kenyataan rasmi daripada Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Mohd Radzi berhubung kemalangan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd