am@hmetro.com.my
Tasek Gelugor: Polis sedang menunggu laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berhubung insiden kebakaran membabitkan tiga rumah teres dua tingkat di Taman Tasek Gelugor Utama, di sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman, berkata ia bagi membolehkan pihaknya melengkapkan kertas siasatan kes itu yang dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana mengugut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari sebuah rumah yang keseluruhannya hangus terbakar dan kemudian merebak di kawasan kejiranan.
“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pasukan JBPM satu jam kemudian. Kesemua penghuni rumah berkenaan dapat menyelamatkan diri manakala harta yang terbakar belum dapat dipastikan.
“Sebarang laporan polis berkenaan kes itu akan diambil tindakan selanjutnya selepas laporan kebakaran diperoleh yang siasatan kes ini akan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menyeru kepada orang ramai supaya tidak mensensasikan kes berkaitan sehingga mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video dan gambar berhubung insiden itu tersebut didakwa akibat perbuatan khianat selepas mangsa menemukan kesan simbahan petrol selain nota ugutan lengkap nama serta nombor kad pengenalan yang sebenarnya ditujukan kepada rumah lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd