bhnews@bh.com.my
Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan tiga sarjana terkemuka negara sebagai penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember ini, sekali gus memperkukuh peranan akademia Malaysia di pentas antarabangsa.
Mereka ialah Prof Dr Shahanum Md Shah sebagai Penyandang Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat; Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand; serta Prof Dr Indirawati @ Indrawati Zahid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University, China.
Pelantikan Shahanum, 60, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakarannya dalam bidang pendidikan muzik.
Berkelulusan Doktor Falsafah dalam Pendidikan Muzik dari Indiana University, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan termasuk Penolong Naib Canselor Kolej Seni Kreatif dan juga Dekan Fakulti Muzik pertama UiTM.
Rekod akademiknya turut diserlahkan melalui penganugerahan National Band Figure Award 2023 serta penghasilan Graded Music Examination for Malay Traditional Music yang menjadi rujukan penting dalam memartabatkan muzik tradisional.
Beliau juga aktif di peringkat antarabangsa sebagai pengajar, penceramah dan hakim pertandingan muzik, selain menjadi panel Music Quality Enhancement Europe bagi tempoh 2024–2027.
Pelantikan Kartini, 51, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula membawa kekuatan kepakaran dalam bidang dasar awam dan etnik.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM itu memiliki latar belakang Doktor Falsafah dalam Law, Policy and Society dari Northeastern University, Amerika Syarikat.
Beliau berpengalaman luas sebagai perunding pelbagai inisiatif perpaduan kebangsaan, di samping terbabit sebagai konsultan bagi agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kesaksamaan Gender pada 2014.
Kepakarannya turut diiktiraf apabila sering dijemput sebagai pembicara di pelbagai negara selain menjadi komentator di BBC, Al Jazeera dan Channel News Asia.
Sementara itu, Indirawati, 59, dari Universiti Malaya (UM) adalah tokoh berpengaruh dalam bidang fonologi dan pengajian Melayu.
Beliau yang kini Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi, Penyelidikan dan Inovasi) di Akademi Pengajian Melayu, menerima gelaran Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 dan memiliki pengalaman antarabangsa sebagai profesor pelawat di China, Rusia dan Indonesia.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM di Guangdong University of Foreign Studies, Guangzhou.
Pelantikannya juga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selaras dengan penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim sejak 2024.
Dengan jaringan akademik kukuh di China serta kepakaran mendalam dalam pengajian Melayu, beliau diyakini mampu memperluas keterlihatan bahasa dan budaya Melayu di peringkat global.
Penyerahan watikah pelantikan itu disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, hari ini.
Katanya, beliau berharap ketiga-tiga penerima ini akan menjalankan tanggungjawab mereka seperti mana yang dilaksanakan oleh tokoh akademik.
Sementara itu, KPT dalam kenyataan menegaskan, pelantikan ketiga-tiga sarjana terbabit akan mengangkat Malaysia sebagai rujukan penting dalam bidang pengajian Asia Tenggara, Malaysia dan Melayu, selain meningkatkan keterlihatan negara dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
“Kementerian merakamkan penghargaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penyandang Kursi Akademik Luar Negara dalam menggalas amanah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




