am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Polis menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata api tiruan di dua lokasi berasingan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 40 tahun ditahan di Kuala Selangor dan Teluk Intan, Perak pada Khamis dan Sabtu lalu.
Beliau berkata, dua lokasi yang menjadi sasaran suspek adalah premis perniagaan jual hasil laut di Pasir Penambang dan kedai runcit di Taman Radin, Tanjong Karang.
“Kes pertama berlaku 5.30 pagi, Selasa lalu, apabila dua suspek memakai pelitup muka masuk ke kedai menjual hasil laut.
“Seorang daripada mereka menahan pekerja wanita warga Indonesia di bahagian pintu masuk kedai. Suspek kedua pula mengarahkan pemilik membawanya ke kaunter bayaran sambil mengacu objek berbentuk pistol sebelum mengambil wang RM700,” katanya dihubungi, hari ini.
Azaharudin berkata, kedua-dua suspek melarikan diri bersama seorang lagi rakan mereka yang bertindak sebagai pemandu kereta.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan, ketiga-tiga suspek terbabit dalam kes sama di sebuah kedai runcit yang videonya tular di laman sosial, Rabu lalu.
“Ketiga-tiga suspek ini adalah rakan dengan kesemuanya mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.
“Dua daripadanya direman enam hari sehingga 13 Ogos ini manakala seorang lagi bermula semalam, hingga 17 Ogos,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd