3 tahun bersekedudukan hingga lahir anak, janda, kekasih dicekup

3 tahun bersekedudukan hingga lahir anak, janda, kekasih dicekup

am@hmetro.com.my

Kluang: Penahanan seorang janda bersama pasangan lelaki bukan sahaja disyaki berkhalwat malah turut membongkarkan perbuatan mereka bersekedudukan selama tiga tahun hingga melahirkan seorang anak.

Kejadian itu terbongkar apabila pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu rumah teres didiami pasangan masing-masing berusia 20-an di daerah ini, 3 pagi, semalam.

Menurut JAINJ, sebelum tangkapan dibuat, pihaknya menerima aduan berhubung kes khalwat membabitkan pasangan di rumah terbabit.

“Penguatkuasa tiba di lokasi dan mendapati terdapat kereta milik pasangan ini di hadapan rumah.

“Dua anggota penguatkuasa pula ditugaskan menjaga pintu belakang kerana bimbang mereka cuba melarikan diri. Sebaik pintu diketuk kira-kira lima minit, seorang lelaki berseluar pendek dan berbaju T membukanya.

“Penguatkuasa memperkenalkan diri dan pemeriksaan menemui seorang wanita lengkap berpakaian di ruang tamu. Pada masa sama, penguatkuasa menemukan seorang kanak-kanak sedang bermain di ruang tamu.

“Soal siasat terhadap pasangan itu amat mengejutkan apabila memberitahu mereka hanya pasangan kekasih dan bukan suami isteri,” katanya dalam kenyataan.

Kata JAINJ lagi, siasatan lanjut turut mendapati lelaki ini berstatus bujang dan bekerja di Kluang manakala pasangannya juga bekerja di daerah sama.

“Hasil soal siasat juga mendapati kanak-kanak itu adalah anak tidak sah taraf yang dilahirkan wanita terbabit sepanjang mereka tinggal bersama di rumah itu. Kanak-kanak itu memiliki sijil kelahiran namun tanpa berbintikan bapa.

“Selepas beberapa kali disoal siasat, pasangan akhirnya mengaku mereka tinggal bersama sejak lebih tahun lalu seperti suami isteri walaupun hakikatnya belum bernikah.

“Pemeriksaan lanjut dalam bilik utama mendapati katil berselerak. Apabila ditanya adakah mereka berhasrat untuk bernikah, mereka menjawab ada, tetapi berdepan masalah.

“Kedua-dua mereka ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat dan Seksyen 23 enakmen sama, kerana berzina.

“Seksyen 23 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan jika didapati bersalah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top