am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Laluan susur masuk ke plaza tol Ayer Hitam ditutup kepada semua kenderaan susulan tong mengandungi bahan kimia berbahaya dan mudah hakis terjatuh dari sebuah treler petang tadi.
Kejadian berlaku jam 6 petang apabila tiga daripada 15 tong yang dimuatkan dalam sebuah treler terjatuh berhampiran plaza tol terbabit.
PLUS Malaysia dalam kenyataan memberitahu, susulan kejadian itu, pihak sudah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).
“Terdapat tiga tong bahan kimia terjatuh, 12 lagi masih berada atas lori. Plaza tol dan persimpangan Ayer Hitam dari kedua-dua arah tutup sementara atas faktor keselamatan oleh bomba.
“Sila guna laluan alternatif,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat digerakkan ke lokasi bagi memberi bantuan kawalan lalulintas di lampu isyarat plaza tol Ayer Hitam.
Kawalan lalu lintas dibuat sementara menunggu kehadiran jurulektrik Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) untuk mengubah sistem lampu isyarat kepada ‘amber light’ bagi tujuan memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya melalui kawasan itu.
Difahamkan, satu inisiatif penutupan sepenuhnya bagi susur masuk ke plaza tol dibuat dengan tindakan awal dari anggota Balai Polis Ayer Hitam.
Tindakan itu bertujuan memberi laluan bagi kerja-kerja pembersihan dan pengalihan bahan oleh Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam dan Unit Hazmat Bomba dari Johor Bahru.
Bagi mereka masuk memasuki lebuh raya disaran menggunakan plaza tol Yong Peng atau Machap.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan insiden itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd