3 waktu nasihat anak, antaranya di dalam kenderaan dan ketika makan

3 waktu nasihat anak, antaranya di dalam kenderaan dan ketika makan

ADA dalam kalangan ibu bapa menghadapi kesukaran dalam menasihati anak-anaknya dan kadangkala pening kepala dibuatnya dengan pelbagai kerenah serta perangai anak-anak yang tidak mendengar kata.

Persoalannya, apakah terdapat panduan daripada Islam berkenaan waktu yang sesuai untuk menasihati anak-anak?

Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, ramai ibu bapa mengadu tidak mengetahui waktu yang tepat untuk menasihati anak-anak mereka memandangkan seharian sibuk bekerja.

Menurutnya, kesibukan bekerja bermula pagi hingga malam menyebabkan mereka terlupa anak-anak merupakan amanah ALLAH SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sepotong hadis.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap anak lahir dalam fitrah. Ibu bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Majusi atau Nasrani.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

USTAZAH ASMA'

USTAZAH ASMA’

Ujarnya lagi, Nabi Muhammad SAW telah mengajar umatnya mengenai tiga waktu terbaik untuk menegur dan mendidik anak-anak:

1 – Di dalam kenderaan

Ia berdasarkan hadis, Ibnu Abbas berkata: “Nabi Muhammad SAW diberi hadiah seekor baghal (sejenis haiwan hasil kacukan kuda dan keldai) oleh Kisra.

“Baginda menunggangnya dengan tali kekang dan memboncengkan aku di belakangnya. Kemudian Baginda berjalan.

“Tidak lama kemudian Baginda menoleh dan memanggil: ‘Wahai anak kecil.’ Aku menjawab: ‘Labbaika ya Rasulullah.’

“Baginda bersabda: ‘Jagalah agama ALLAH, nescaya DIA menjagamu’.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)

2 – Waktu makan

Ia berdasarkan hadis diriwayatkan Umar bin Abi Salamah, beliau berkata: “Waktu aku masih kecil dan berada di bawah jagaan Rasulullah SAW, tanganku bergerak ke sana ke mari di pinggan makanan.

“Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Wahai budak, bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang ada di hadapanmu.’

“Maka seperti itulah gaya makanku selepas itu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

WAKTU makan juga antara waktu terbaik menasihati anak-anak. Foto Canva

WAKTU makan juga antara waktu terbaik menasihati anak-anak. Foto Canva

3 – Waktu anak sakit

Anas RA berkata: “Ada seorang anak kecil Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW dan dia sedang menderita sakit. Maka Nabi SAW menjenguknya dan Baginda duduk di sisi kepalanya lalu bersabda: ‘Masuklah Islam.’

“Anak kecil itu memandang bapanya yang berada berhampiran dengannya. Lalu bapanya berkata: ‘Taatilah Abu al-Qasim SAW.’ Maka anak kecil itu masuk Islam.

KESIBUKAN ibu bapa bekerja seharian menyebabkan masa bersama anak-anak berkurangan.

KESIBUKAN ibu bapa bekerja seharian menyebabkan masa bersama anak-anak berkurangan.

“Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: ‘Segala puji bagi ALLAH yang telah menyelamatkan anak itu dari neraka’.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Menurut Ustazah Asma’, anak yang soleh akan menjadi sesuatu yang sangat berharga buat ibu bapa apabila dia sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua-dua ibu bapanya kelak sebagaimana hadis Rasulullah SAW.

Abu Hurairah RA meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Scroll to Top