3 wanita China dicekup bayar sewa bilik hotel guna wang palsu

3 wanita China dicekup bayar sewa bilik hotel guna wang palsu

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga wanita warga China ditahan kerana membayar sewa bilik sebuah hotel di ibu kota menggunakan wang palsu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati suspek membuat bayaran sewa bilik hotel sebanyak RM8,700 menggunakan 87 keping wang kertas RM100 yang disahkan palsu.

“Hasil siasatan lanjut, pihak polis berjaya menahan semua tiga wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun yang dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

“Turut dirampas beberapa barang termasuk 87 keping wang tunai RM100 palsu, satu keping wang tunai RM50, satu keping wang tunai RM20, dua beg silang jenama, kad akses bilik serta tiga unit telefon pintaf,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

“Semua suspek ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai diminta sentiasa berwaspada terhadap wang kertas secara fizikal seperti yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang mengesyaki menerima wang palsu diminta tidak mengedarkannya semula, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top