am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga wanita tampil membuat laporan polis secara berasingan terhadap seorang penceramah bebas berprofil tinggi, mendakwa diperdaya membabitkan kerugian keseluruhan RM200,000, hari ini.
Ketiga-tiga wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu membuat laporan di balai polis berasingan hari ini, dengan semua aduan berkaitan transaksi pinjaman wang yang dikatakan untuk membantu urusan sekolah agama di Lembah Klang dan urusan jemaah umrah.
Seorang wanita berusia 41 tahun membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, mendakwa menyerahkan wang RM60,000 kepada individu terbabit selepas menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp berhubung permintaan kononnya untuk menyelesaikan urusan pengurusan jemaah umrah.
Mangsa memaklumkan wang itu dimasukkan ke akaun bank milik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan sekolah agama berkenaan.
Sementara itu, wanita berusia 39 tahun pula membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam, berhubung tiga transaksi wang berjumlah RM60,000 yang didakwa dipinjam individu sama antara Ogos hingga September 2020.
Mangsa mendakwa wang itu dipinjamkan kepada individu sama atas alasan membantu urusan pembangunan sekolah agama milik individu berkenaan, termasuk kos pentadbiran dan penyelenggaraan.
Wanita terbabit mendakwa mengenali individu itu melalui ceramah agama secara langsung di media sosial dan pernah hadir ke beberapa sesi ceramah anjuran sekolah berkenaan.
Laporan ketiga dibuat di Balai Polis Wangsa Maju oleh seorang wanita berusia 44 tahun yang mendakwa menyerahkan sejumlah wang berperingkat berjumlah RM80,000 kepada individu terbabit sebagai ‘pelaburan’ untuk membeli sekolah agama sama.
Pengadu turut memaklumkan bayaran tambahan diminta beberapa kali dengan pelbagai alasan, termasuk mendakwa pelaburan ditangguh dan perlu diselesaikan semula.
Ketua Polis Daerah Wang Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail, ketika dihubungi BH hari ini, mengesahkan laporan polis berkenaan, namun kes itu dirujuk ke Polis Daerah Gombak.
“Laporan dibuat di Wangsa Maju tetapi laporan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kerana tempat berlaku di kawasan pentadbiran IPD Gombak,” katanya.
BH juga sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu.
Terdahulu, individu sama tular di media sosial selepas dikaitkan dengan dakwaan rakaman video tidak senonoh bersama beberapa wanita yang didakwa isterinya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook turut tampil mendedahkan pernah menjadi mangsa penipuan wang oleh individu itu membabitkan modus operandi hampir sama.
Dalam hantaran di Facebook pada 15 Jun lalu, seorang mutawif umrah, dikenali sebagai Mahmood Sa-ah, mendakwa pernah menjadi mangsa individu sama selepas diminta membantu menguruskan tempahan hotel untuk jemaah umrah penceramah terbabit di Makkah.
Menurutnya, individu itu tidak membayar hutang selepas kembali ke Malaysia, menyebabkannya dipenjara selama empat minggu di Arab Saudi selepas gagal melunaskan hutang dengan hotel terbabit.
Mahmood turut mendakwa hilang pekerjaan dan disenarai hitam akibat kes itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd