am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga warga China yang menggunakan pas disyaki palsu sebagai dokumen sokongan bagi mendapatkan kemudahan visa masuk ke Amerika Syarikat (AS) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seorang lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 54 tahun itu ditahan kerana memiliki Pas Lawatan Sosial yang disyaki palsu pada 11.25 pagi, hasil maklumat risikan dan hasil pemeriksaan pasukannya.
Pihaknya turut menyita tiga pasport People’s Republic of China yang terdapat pelekat Pas Lawatan Sosial (Tanggungan) MM2H yang disyaki palsu.
“Penahanan itu adalah tindakan susulan selepas JIM berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen berkenaan pada 8 Oktober 2025, melalui penahanan enam warga China dan dua lelaki tempatan yang disyaki sebagai ejen sindiket.
“Modus operandi sindiket itu membekalkan pelbagai pas jangka panjang JIM yang palsu dengan harga sehingga RM10,000 sekeping untuk dijadikan sokongan bagi tujuan permohonan visa untuk masuk ke Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Zakaria berkata, pas jangka panjang berkenaan disyaki cuba digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan dan memudahkan tapisan permohonan visa.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, JIM turut menahan 11 warga China kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu
Katanya, seramai lima warga China ditahan kerana disyaki mengoperasikan restoran dan bekerja tanpa pas yang sah hasil pemeriksaan di empat premis runcit dan restoran sekitar Dengkil, Selangor.
Menurutnya, mereka yang ditahan mengemukakan Pas Lawatan Sosial, malah masuk ke negara ini sebagai pelancong.
Sementara enam lagi wanita China berusia 28 hingga 53 tahun ditahan di Kepong di sini, kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian dengan bekerja sebagai tukang urut.
“Kesemua wanita itu juga disyaki menyediakan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran RM100 hingga RM300 setiap sesi. Turut ditahan, seorang lelaki tempatan yang disyaki sebagai majikan dan penjaga premis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, semua warga asing terbabit ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
© New Straits Times Press (M) Bhd




