3 wartawan portal berita dipanggil beri keterangan

3 wartawan portal berita dipanggil beri keterangan

Kuala Lumpur: Tiga wartawan sebuah portal berita tempatan dipanggil memberi keterangan hari ini berhubung satu laporan berita yang mengaitkan pertukaran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Ketiga-tiga mereka dipanggil bagi dirakam percakapan kira-kira sejam pukul 2.35 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan kes itu.

Peguam ketiga-tiga wartawan itu Rajsurian Pillai berkata mereka disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Dua hari lalu, mereka sudah memberikan kerjasama. Hari ini, mereka hadir secara sukarela dan pegawai penyiasat juga sangat profesional serta telah bertanya lebih kurang 27 soalan antaranya, siapakah sumber mereka bagi menulis artikel itu, tapi kebanyakannya akan dijawab di mahkamah.

“Etika kewartawanan menyatakan bahawa anda tidak boleh mendedahkan sumber. Saya rasa semua orang faham dan menghormatinya termasuk polis,” katanya selepas menemani tiga wartawan berkenaan bagi memberi keterangan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini siasatan masih berjalan dan belum ada sebarang maklumat sama ada mereka akan dipanggil semula, namun tidak menafikan ketiga-tiga wartawan itu boleh dipanggil pada bila-bila masa sekiranya siasatan belum lengkap.

“Tiada rampasan telefon atau apa-apa barang lain. Pihak polis sangat professional dalam menjalankan tugas,” katanya.

Pada Selasa, sebuah portal berita tempatan melaporkan sumber memaklumkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dipercayai akan dipindahkan ke agensi lain.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan tersebut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top