30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (19)

30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (19)

HIKMAH 19:

ما بَسَقَتْ أَغْصانُ ذُلٍّ إلّا عَلى بَذْرِ طَمَعٍ

“Tidak akan tumbuh dahan-dahan kehinaan melainkan di atas benih ketamakan.”

1. Orang yang memiliki sifat tamak, akan hidup hina di atas dunia. Hina di mata tuhan, hina juga di mata manusia.

2. Tamak yang dimaksudkan adalah memberi harapan yang tinggi pada makhluk untuk sesuatu perkara. Berbeza dengan maksud tamak dalam Bahasa Melayu iaitu ingin mendapatkan sesuatu tanpa had.

3. Bila seseorang itu tamak, mereka akan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan apa yang diingini. Di situlah terserlah kehinaan diri di mata manusia.

Ibrah Ramadan:

Walaupun tamak dalam istilah Melayu dan Arab berbeza, tetapi ia tetap berkait. Pertama, keduanya adalah sifat yang tercela. Kedua, keduanya akan membuat orang menjadi hina. Ketiga, ianya terserlah di bulan mulia ini.

Tamak dalam istilah Melayu boleh kita lihat di bazar Ramadan. Membeli ikut nafsu sampai tak ingat dunia. Tamak inginkan segala juadah yang ada. Akhirnya membazir tak habis, ataupun terpaksa habiskan sehingga mendatangkan penyakit.

Tamak dalam istilah Arab pula boleh dilihat melalui jualan murah. Sanggup beratur panjang, berebut dan berasak semata nak mendapatkan tawaran manusia itu. Sampai mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba di bulan mulia ini.

Kedua-dua akan melahirkan kehinaan. Hilang maruah. Tampak rakus dan pelahap. Hina dunia dan akhirat. 

ALANG IBN SHUKRIMUN
19 Ramadan 1444
10 April 2023 – HARAKAHDAILY 10/4/2023

The post 30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (19) appeared first on HarakahDaily.