30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (24)

30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (24)

HIKMAH 24:

من رأيته مجيباً عن كل ما سئل ومعبراً عن كل ما شهد وذاكراً كل ما علم فاستدل بذلك على وجود جهله .

“Sesiapa yang kalian lihat menjawab semua soalan, bercerita semua yang dilihat dan menyatakan semua yang dia tahu, itu adalah tanda kejahilannya.”

1. Bila seseorang menjawab semua persoalan, seolah-olah dia tahu semua perkara. Tak ada dia mengaku tak tahu. Sedangkan itu mustahil. Firman Allah S.W.T:

وَيَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنۡ أَمۡرِ رَبِّي وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِ إِلَّا قَلِيلٗا

“Dan mereka bertanya kepadamu mengenai roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.”

[al-Israk: 85]

2. Bercerita semua yang dilihat adalah sikap mulut becak yang tercela. Sedangkan seseorang perlu menyimpan rahsia, juga aib tertentu.

3. Menyatakan semua yang dia tahu juga tidak bertepatan dengan kehendak syarak. Bukan semua ilmu boleh dikongsi, bimbang timbul fitnah dan sebagainya. Abdullah Ibn Mas’ud berkata: “Tidaklah kamu berbicara dengan suatu kaum sesuatu perkara yang tidak tercapai akal mereka, melainkan ia akan menjadi fitnah.”

Ibrah Ramadan:

Puasa menuntut kita menjaga lidah. Selain dari mengumpat, mencela, berkata kesat, berbohong, kita juga perlu elakkan dari berbicara semua perkara walaupun zahirnya perkara baik seperti yang diterangkan di atas. Boleh jadi ia adalah tipu daya yang cuba menyesatkan kita.

Budaya bersembang perlu dikurangkan bulan mulia ini. Perbanyakkan zikir berbanding urusan sesama manusia. Tapi bulan jugalah, kedai-kedai meriah dengan orang lepak. Budaya moreh merancakkan lagi sembang kencang sampai larut malam. Mudah tergelincir ke lembah dosa lidah.

ALANG IBN SHUKRIMUN
24 Ramadan 1444
15 April 2023 – HARAKAHDAILY 15/4/2023

The post 30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (24) appeared first on HarakahDaily.