30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (28)

30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (28)

HIKMAH 28:

الرَّجَاءُ مَا قَارَنَهُ عَمَلٌ ، وَإِلاَّ فَهُوَ أُمْنِيةٌ

“Cita-cita adalah perkara yang disertai dengan usaha. Jika tidak, ia adalah angan-angan.”

1. Setiap impian perlu disertakan dengan rancangan jelas untuk mencapainya. Bukan itu sahaja, langkah pertama perlu dimulakan. Ini dipanggil pemikiran strategik.

2. Kalau sekadar memasang impian tanpa ada perancangan mencapainya, ia tidak lebih sekadar angan-angan kosong. Buang masa dan lagho. Kata al-Kurkhi:

طلب الجنة بلا عمل ذنب من الذنوب ، وارتجاء الشفاعة بلا سبب نوع من الغرور ، وارتجاء رحمة من لا يطاع جهل وحمق

“Meminta syurga tanpa amal adalah satu dosa. Mengharap syafaat tanpa melakukan sebabnya adalah pembohongan. Mengharap rahmat dari yang tidak melakukan ketaatan adalah jahil dan bodoh.”

3. Tasawuf sebenar adalah amalan, bukan falsafah. Kata al-Junaid:

ما أخذنا التصوف عن القيل والقال والمراء والجدال ، وانما أخذناه عن الجوع والسهر وملازمة الأعمال

“Kami tidak mengambil tasawuf dari kata qil, debat dan bahas. Tapi kami mengambil tasawuf dari berlapar, berjaga malam dan sentiasa beramal.”

Ibrah Ramadan:

Hentikan bahas 8 atau 20 rakaat, usah bicara lagi teori bila lailatul qadar, abaikan debat bila hari raya. Yang lebih penting adalah beramal pada Ramadan berbaki ini.

Ramadan tinggal 3 hari sahaja lagi. Adakah kita sedar diri atau sudah dilalaikan dengan persiapan raya?

Sabda Rasulullah S.A.W:

الكيس من دان نفسه وعمل لما بعد الموت، والعاجز من أتبع نفسه هواها وتمنى على الله.

“Orang bijaksana adalah orang yang menundukkan nafsunya dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Manakala orang lemah adalah orang yang mengikuti nafsunya, dalam masa yang sama dia mengharap kepada Allah (agar mengampuninya).”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

ALANG IBN SHUKRIMUN
28 Ramadhan 1444
19 April 2023 – HARAKAHDAILY 19/4/2023

The post 30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (28) appeared first on HarakahDaily.

Scroll to Top