KUANTAN: Kira-kira 30 individu atau 10 peratus penduduk Tanah Putih Baru yang meninggalkan rumah sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 5 Mei lalu, masih berdegil dan gagal tampil melakukan ujian calitan Covid-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, dekat Teluk Sisek, minggu lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, selepas pemeriksaan awal dilakukan, pihaknya mendapati memang ada penduduk kawasan berkenaan yang meninggalkan kediaman sebelum PKPD dikenakan iaitu kira-kira 200 orang.
“Namun, selepas pengumuman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Pahang, ramai yang sudah tampil membuat ujian (calitan) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah baru-baru ini.
“Kita anggarkan antara 20 hingga 30 orang lagi yang belum tampil dan meminta mereka segera berbuat demikian… memandangkan peluang untuk mereka melalukan ujian (calitan) di Dewan Jubli Perak sudah berakhir, kita harap mereka segera tampil membuat ujian serupa di mana-mana pusat kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meninjau sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Lumpur, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Abd. Jalil turut memaklumkan bahawa sebanyak 39 sekatan jalan raya dilakukan PDRM Pahang, terutamanya di sempadan negeri dan daerah, selain di beberapa lokasi dikenal pasti sebagai lorong tikus, bagi menghalang aktiviti rentas daerah dan negeri secara tidak sah.
“Setakat ini PDRM Pahang sudah meluluskan 2,306 permohonan merentas daerah dan negeri kerana mempunyai alasan yang memuaskan, manakala 133 lagi permohonan terpaksa kita tolak kerana menggunakan alasan tidak logik.
“Kita juga berharap semua penduduk di Pahang dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan jika semua pihak boleh memberikan kerjasama, insya-Allah, saya percaya negeri Pahang boleh menjadi negeri pertama yang keluar dari masalah Covid-19 dan seterusnya diisytiharkan negeri hijau seberapa cepat yang mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE