30 maut dalam rempuhan di kubu kota Laferriere Haiti

30 maut dalam rempuhan di kubu kota Laferriere Haiti
30 maut dalam rempuhan di kubu kota Laferriere Haiti

Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam rempuhan pada hujung minggu di kubu puncak gunung di utara Haiti yang popular dalam kalangan pelancong.

MEXICO CITY – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam rempuhan pada hujung minggu di kubu puncak gunung di utara Haiti yang popular dalam kalangan pelancong, lapor Anadolu Ajansi.

Insiden di Tapak Warisan Dunia UNESCO Citadelle Laferriere berlaku semasa perayaan tahunan yang menarik kehadiran ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.

Menteri Kebudayaan, Emmanuel Menard berkata, hujan lebat digabungkan dengan kesesakan menyebabkan orang ramai saling merempuh dan lemas.

Dalam kenyataan akhbar, Menard mengesahkan 13 mayat ditemui di destinasi pelancongan itu manakala 17 lagi telah dibawa ke hospital berdekatan.

Bagaimanapun, jumlah kematian yang disahkan mungkin meningkat dalam beberapa jam akan datang berikutan jumlah orang hilang yang dilaporkan adalah tinggi.

Beliau berkata, mangsa yang cedera sedang menerima rawatan perubatan dan pasukan penyelamat sedang mencari mereka yang hilang.

Menard juga berkata, pasukan keselamatan telah dikerahkan untuk mengamankan kawasan itu dan semua lawatan ke kubu tersebut akan ditangguhkan dalam beberapa minggu akan datang.

Kerajaan Perdana Menteri, Alix Didier Fils-Aime merakamkan ucapan takziah atas kehilangan nyawa, menyampaikan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka serta menggesa orang ramai supaya bertenang.

“Semua pihak berkuasa yang berkaitan digerakkan sepenuhnya dan dalam keadaan berjaga-jaga untuk memberikan bantuan segera, penjagaan dan sokongan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas dan orang tersayang mereka,” menurut kenyataan akhbar itu. – Bernama

Scroll to Top