30 Mei 2026 Tarikh Baharu Konsert ‘For You’ Nourul

30 Mei 2026 Tarikh Baharu Konsert ‘For You’ Nourul

Konsert For You Nourul kini dijadualkan semula poada 30 Mei 2026 bagi memastikan pengalaman terbaik buat peminat serta persiapan produksi berjalan lebih rapi.

Sebelum ini, persembahan yang menjadi konsert solo istimewa sempena lebih tiga dekad perjalanan seni Nourul Depp ini dirancang berlangsung pada 17 April 2026. Namun tarikh baharu dipilih selepas perbincangan bersama pihak penganjur, ND Entertainment.

Melalui keputusan itu, peminat bakal berkumpul bersama penyanyi lagu Kerana Terluka pada tarikh yang dianggap lebih sesuai oleh penganjur.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau Orang Gosip Tentang Kita, Bermakna Kita Penting Dalam Hidupnya” – Nourul Depp Pesan Jangan Mudah ‘Down’

Wakil ND Entertainment berkata pihaknya dan Nourul mencapai kata sepakat untuk meminda jadual persembahan.

“Kami berbincang bersama dan akhirnya memilih 30 Mei 2026 sebagai tarikh baharu. Antara pertimbangannya adalah menghormati dua perayaan besar umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

“Selain itu, peminat juga diberi ruang menyusun semula perbelanjaan selepas musim perayaan supaya mereka dapat hadir dalam suasana lebih selesa dan meriah. Kami mahu malam itu benar-benar menjadi hari keraian khas untuk Nourul dan peminat,” katanya.

Sementara itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab menjelaskan perubahan tarikh turut memberi manfaat kepada penyusunan persembahan.

“Pertukaran ini berlaku selepas kami berbincang semula keseluruhan perancangan konsert, terutama susulan perubahan penganjur lama kepada syarikat saya sendiri. Ia membantu dari segi jadual produksi serta penglibatan artis jemputan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak Minat, Tak Apa” – Dikritik ‘Syok Sendiri’ Mahu Anjur Mini Konsert, Nourul Depp Tenang Bidas Netizen

Walaupun tarikh berubah, kategori tiket kekal sama iaitu RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6,000 bagi VIP Box.

Tiket boleh didapati menerusi laman rasmi Ticket2U.

Konsert For You Nourul bakal berlangsung pada 30 Mei 2026 jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur, menjanjikan malam penuh emosi, nostalgia dan cinta bersama peminat.

Scroll to Top