am@hmetro.com.my
Sekinchan: Sekurang-kurangnya 30 rumah di Taman Ria, di sini terjejas selepas dibadai ribut hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berkata, pihaknya bertindak mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan pada jam 4.50 petang bagi menempatkan mangsa yang terkesan.
“Semua agensi berkaitan diarah bersiap siaga dalam menghadapi situasi ini.
“Ini termasuk menyediakan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Ali Sadikin berkata, orang ramai khususnya yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan dan pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.
Terdahulu, tular di laman Facebook video dan gambar memaparkan kejadian ribut yang melanda Sekinchan petang ini.
Untuk rekod, ini adalah kejadian kedua bencana berkenaan berlaku dengan kali pertama di Kampung Parit Empat, 6 Mac lalu yang membabitkan lapan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd