Mumbai: Sebuah panggung wayang di India meraikan ulang tahun ke-30 tayangan filem cinta legenda Bollywood, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ), yang kini menjadi filem paling lama ditayangkan dalam sejarah negara itu.
Filem lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol itu mula ditayangkan pada 20 Oktober 1995 di Maratha Mandir Theatre, Mumbai.
Selepas tiga dekad, filem berkenaan masih menarik ratusan penonton setiap hari, khususnya pelajar universiti dan pasangan muda.
Ketua panggung wayang, Manoj Desai berkata, sambutan terhadap filem itu kekal luar biasa walaupun sudah 30 tahun.
“Pada hari Ahad, anda akan dapati sekitar 500 orang hadir menonton, walaupun selepas 30 tahun,” katanya kepada AFP.
Filem romantik itu mengisahkan pasangan muda yang menentang tradisi keluarga bagi mempertahankan cinta mereka.
Dalam pada itu, Desai berkata, babak klimaks yang menampilkan heroin berlari ke arah kereta api untuk bersama kekasihnya sering mencetuskan sorakan dan tepukan penonton.
“Inilah momen yang membuat bulu roma meremang. Bapa membenarkan anak perempuannya pergi, sambil berkata dia tidak akan menemukan pasangan yang lebih baik untuk menghabiskan hidup bersamanya,” katanya.
Sementara itu, seorang peminat, Mohammad Shakir, 60, mengaku sudah menonton filem itu kira-kira 30 kali dan masih belum jemu.
Filem itu pernah hampir dihentikan tayangannya pada 2015, namun bantahan peminat menyebabkan keputusan itu dibatalkan.
Menurut pengkritik filem, Baradwaj Rangan, DDLJ kekal relevan kerana menggambarkan pertembungan antara nilai tradisional dan moden dalam masyarakat India.
“Ia mewakili satu titik penting dalam budaya India dan itulah sebab ia terus disayangi,” katanya.
Beliau menyifatkan filem itu sebagai ‘monumen budaya’ yang mungkin akan terus ditayangkan selama-lamanya.
Untuk rekod, tayangan filem itu hanya dihentikan selama beberapa bulan semasa tempoh sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19 di India pada 2020.
© New Straits Times Press (M) Bhd




