30 terbunuh dalam serangan di Burkina Faso

30 terbunuh dalam serangan di Burkina Faso

OUAGADOUGOU: Serangan pengganas di perkampungan di utara Burkina Faso mengakibatkan 30 terbunuh termasuk 15 anggota tentera.

Kementerian Pertahanan, dalam satu kenyataan, berkata serangan pengganas di perkampungan dekat sempadan Niger itu kelmarin turut mengorbankan 11 orang awam.

Selain itu, pengganas turut mencuri lembu dan membakar kediaman penduduk sebelum seunit pasukan tentera dan anggota tentera simpanan dikerah bagi mematahkan serangan.

Namun, 15 tentera dan empat anggota pasukan simpanan terbunuh manakala 10 pengganas berjaya ditumpaskan.

Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa lokasi serangan kini disahkan selamat di bawah kawalan tentera dan serangan balas udara serta darat menyasarkan pengganas kini diperhebatkan.

Terdahulu, pegawai pasukan tentera sukarela, VDP, berkata serangan berlaku di wilayah pentadbiran Sahel membabitkan perkampungan Badnoogo, Bassian, Tokabangou dan Gadba dekat sempadan Niger dan daerah Pensa di tengah wilayah utara.

Burkina Faso di wilayah Sahel yang kontang sudah bertempur dengan pengganas sejak 2015 termasuk kumpulan dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Daesh.

Lebih 1,500 orang maut dan lebih 1.3 juta penduduk terpaksa menjadi pelarian akibat serangan itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top