harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kira-kira 30 warga Indonesia ‘disumbat’ di dalam sebuah bilik hotel bajet di Jalan Hussein 1, Chow Kit di sini, yang dijadikan rumah transit oleh sindiket penyeludupan manusia.
Perkara itu terbongkar selepas premis berkenaan diserbu sepasukan polis dari Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran/ Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sini, malam tadi.
Beberapa warga asing yang ditemui, mendakwa sudah tinggal di bilik kecil itu selama antara 10 ke 18 hari, sementara menanti pengangkutan pulang secara haram atau lebih dikenali dalam kalangan warga Indonesia sebagai ‘jalur belakang’.
Mereka dikenakan bayaran kira-kira RM1,500 hingga RM1,800, berbeza mengikut harga ditetapkan ejen masing-masing.
Difahamkan, sindiket menjadikan bilik hotel yang kecil berkenaan sebagai transit bagi warga asing yang diambil dari seluruh negara sebelum diseludup keluar melalui jalan laut.
Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati, warga asing terbabit terpaksa duduk berhimpit di ruangan sempit berkenaan tanpa mengira jantina.
Tidak cukup dengan itu, tindakan beberapa warga asing merokok di dalam bilik kecil berkenaan menyebabkan ia dipenuhi asap rokok.
Harian Metro difahamkan, sindiket akan menguruskan segala makan dan minuman kesemua warga asing terbabit sepanjang mereka transit di hotel berkenaan bagi mengurangkan pergerakan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dijalankan dengan bantuan anggota Batalion 19, Pasukan Gerakan Am (PGA) di dua lokasi di sekitar Chow Kit, di sini, bermula 8 malam.
“Hasil serbuan ke atas dua hotel bajet berkenaan membawa kepada tangkapan 71 individu terdiri daripada 56 lelaki dan 15 wanita. Kesemuanya warga Indonesia.
“Modus operandi sindiket menggunakan rumah penampungan di ibu kota sebagai transit kepada migran yang hendak keluar atau masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Tekong darat (transporter) akan menguruskan perjalanan migran dari rumah penampungan sehingga sampai ke persisiran pantai,” katanya.
Menurutnya, kesemua tangkapan berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Atipsom 2007, serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, fokus operasi membabitkan penyeludupan migran yang dipercayai keluar dan masuk ke Indonesia melalui jalan air yang tidak diwartakan di perairan persisiran pantai Barat Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



