Berita gembira buat pelajar STPM cemerlang apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan 300 biasiswa baharu kepada mereka yang berminat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan di universiti awam tempatan.
300 biasiswa ditawar KPM buat pelajar STPM
Memetik laporan daripada Bernama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan inisiatif ini adalah usaha berterusan bagi menarik minat pelajar STPM menyertai profesion perguruan dan memperkukuh laluan akademik mereka ke universiti.
“Ini yang kita sedang tumpukan perhatian untuk terus memberikan tumpuan kepada bakat-bakat berpotensi dan yang telah pun mencapai keputusan STPM yang baik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya.
300 biasiswa ditawar KPM, berpeluang jadi cikgu
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW 2024 anjuran Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini.
Fadhlina menegaskan, hanya mereka yang benar-benar beriltizam dan bersemangat tinggi akan dipilih untuk menjadi tunjang kepada sistem pendidikan negara.
Menariknya, program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) kini turut terbuka kepada lepasan STPM, bukan lagi terhad kepada lepasan SPM sahaja.
“Inilah antara komitmen besar KPM untuk memastikan Tingkatan Enam ini terus menjadi pilihan utama pelajar pasca-SPM dan membuka laluan lebih luas kepada mereka,” katanya lagi.
Guru Tingkatan 6 juga bakal terima manfaat
Bukan pelajar sahaja yang beruntung, guru Tingkatan Enam juga bakal menerima manfaat melalui kursus dan latihan yang dijalankan secara CSR bersama BPSH dan MPM bagi meningkatkan mutu pengajaran.
Dalam pada itu, Fadhlina menyatakan sokongan terhadap cadangan sistem keputusan ‘patching’ untuk calon STPM yang mahu memperbaiki keputusan dalam tahun sama.
Ia sekaligus memudahkan pelajar memohon kemasukan ke universiti tanpa perlu menunggu tahun berikutnya.
Tambahnya lagi, kelayakan STPM turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan setaraf dengan GCE A-Level oleh Cambridge University Press and Assessment.
“Yakinlah anak-anak bahawa Menteri Pendidikan akan sentiasa menyokong anak-anak … sistem pendidikan ini, khususnya STPM adalah antara yang terbaik dalam negara,” ujarnya.
Artikel lain: PM Anwar pesan jangan buang mahasiswa UMS, masa depan mereka lebih utama -Zambry
Dalam majlis yang sama, Pengerusi MPM, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff turut mengumumkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) STPM 2024 meningkat kepada 2.85, naik 0.01 mata berbanding tahun sebelumnya. Tahniah semua!