300 jemaah imarahkan solat gerhana di Masjid Al-Ansar

300 jemaah imarahkan solat gerhana di Masjid Al-Ansar

am@hmetro.com.my

‎Kuala Nerus: Lebih 300 jemaah membanjiri Masjid Al-Ansar, di sini, bagi menunaikan solat sunat gerhana bulan secara berjemaah sempena fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku malam ini.

‎Solat sunat berkenaan dilaksanakan sejurus fenomena gerhana mula kelihatan.

‎Fenomena gerhana bulan penuh itu dapat disaksikan di beberapa kawasan sekitar negeri ini sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk menyaksikan kejadian alam berkenaan secara lebih dekat.

‎Mengikut waktu tempatan, fasa penuh gerhana bulan bermula jam 7.04 malam sebelum mencapai kemuncak pada jam 7.33 malam dan berakhir sekitar jam 8.02 malam.

Sepanjang tempoh itu, bulan kelihatan berwarna kemerahan atau dikenali sebagai ‘bulan merah darah’.

‎Dalam khutbah ringkas selepas solat, imam mengingatkan jemaah kejadian gerhana bulan adalah tanda kebesaran Allah SWT dan bukan sesuatu yang perlu ditakuti.

‎Beliau berkata, umat Islam digalakkan mengambil peluang ketika berlakunya gerhana untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan ibadah seperti solat sunat, berzikir dan berdoa.

‎Menurutnya, amalan berkenaan selaras dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan ketika menyaksikan kebesaran ciptaan Allah SWT.

‎Tinjauan di masjid berkenaan mendapati suasana penuh dengan kehadiran jemaah daripada pelbagai peringkat usia.

‎Kehadiran golongan muda turut mencuri perhatian apabila mereka tidak melepaskan peluang menyertai solat sunat selain menyaksikan sendiri fenomena gerhana bulan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top