300 koleksi tulisan khat Yusuf pamer di Melaka

MELAKA – Penggemar seni tulisan khat kini berpeluang melihat 300 koleksi tulisan khat dihasilkan Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) China, Yusuf Liu Baojun di Melaka selama tiga bulan sehingga Disember ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata, antara bahan dipamerkan  termasuklah kaligrafi Islam dalam pelbagai jenis tulisan khat dan artifak warisan Cina Muslim seperti seramik dengan tulis Arab, numismatik Cina bercirikan Islam dan ukiran kayu.

Menurutnya, semua koleksi khat Yusuf yang telah menghasilkan 31 buah buku termasuk tulisan khat dalam bahasa Arab, Jepun dan Mandarin mempunyai keistimewaan masing-masing yang harus diperluaskan kepada generasi muda hari ini

“Dengan adanya pameran ini sehingga Disember ini, kita berharap ianya dapat menarik minat generasi muda untuk lebih mengenali seni tulisan khat yang nampaknya hampir pupus.

“Seni khat ini memerlukan teknik seni yang amat tinggi dan bukan semua orang boleh menghasilkannya seperti dilakukan Yusuf Liu Baojun,” katanya.

Akramuddin

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran dan Pelancaran Buku Seni Khat dan Sejarah Cina Muslim Melaka 2022 di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, Bastion House, Muzium DMDI di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, rakyat khususnya pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi tidak seharusnya melepaskan peluang ke pameran yang julung kalinya diadakan itu.

“Pelbagai program dirancang sepanjang tiga bulan pameran ini antaranya seminar, demonstrasi tulisan khat, jualan buku, jualan kraf dan kuiz bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang dengan bayaran masuk RM10 bagi dewasa dan kanak-kanak, RM4.

“Kita menyasarkan 20,000 pengunjung melihat pameran pertukaran budaya dan komunikasi yang unik ini termasuklah melihat sejarah pembangunan Cina Muslim di Melaka hasil peninggalan dari era Laksamana Cheng Ho,” katanya. – MalaysiaGazette.