razis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) bermula 27 September 2025 dijangka dapat menarik kehadiran lebih 3,000 peserta antarabangsa dan tempatan dari 159 negara.
Selain itu, penganjuran program ini turut akan disertai 500 ahli sektor swasta Perhimpunan Agung Sesi Ke-25 Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) termasuk menteri pelancongan, ketua pertubuhan pelancongan kebangsaan dan tokoh industri pelancongan global.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya gembira apabila Malaysia terpilih menganjurkan program yang mega ini di Perhimpunan Agung Sesi Ke-25 Pertubuhan Pelancongan Sedunia di Samarkand, Uzbekistan pada 19 Oktober lalu,
Katanya, pemilihan Melaka untuk menganjurkan program ini sangat bertepatan sebagai sebuah bandar bersejarah di Malaysia, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan negara.
“Penganjuran WTD dan WTC 2025 di Melaka adalah tanda pengiktirafan terhadap komitmen dan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa menerajui pembangunan sektor pelancongan sehingga berjaya meletakkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di persada dunia.
“Melihat perancangan rapi yang akan dilaksanakan, tidak mustahil jumlah peserta yang disasarkan itu boleh mencecah sehingga 5,000 ke 6,000. Saya juga meminta Kerajaan Negeri Melaka turut membawa peserta melawat Negeri Sembilan dan Johor,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Kick-Off bagi penganjuran WTD dan WTC 2025 bersama dengan Kerajaan Negeri Melaka di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan, Ketua Setiausaha Motac, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Motac atas kepercayaan diberikan untuk menjadi tuan rumah WTD dan WTC 2025.
“Pemilihan Melaka sebagai lokasi sambutan adalah sesuatu yang sangat bermakna. Sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, Melaka memiliki pelbagai destinasi tarikan pelancongan yang mempunyai sejarah yang luar biasa dan warisan budaya yang unik selain hospitaliti rakyat Melaka yang mampu menarik sehingga 5 juta pelancong untuk ke negeri ini setahun.
“Jadi, saya melihat dengan penganjuran WTD dan WTC 2025 akan menjadi tambah nilai pelancongan yang baharu kepada Melaka,” katanya. Beliau berkata, sebagai persediaan untuk menganjurkan dua program mega ini, pihaknya akan mempertingkatkan lagi logistik dan prasarana untuk membantu melancarkan penganjuran program ini, sekali gus dapat menambah keceriaan Melaka.
“Ia selari dengan usaha kita untuk menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024, dan secara tidak langsung, ia akan membantu Malaysia dalam persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya yakin Melaka bersedia menerima kehadiran 159 ketua-ketua negara dari seluruh dunia dan seterusnya menjadi tempat yang sempurna untuk meraikan WTD 2025 dan penganjuran edisi ketujuh WTC 2025 dimana kali terakhir WTC diadakan di Melaka iaitu pada tahun 2013,” katanya.
Pada masa sama, Ab Rauf berkata, bagi mengatasi isu kesesakan, pihaknya juga sudah mengambil langkah awal sejak enam bulan lalu untuk melaksanakan laluan kontra baharu dan zon bebas kenderaan di kawasan tumpuan pelancong yang akan bermula pada 15 Disember ini.
“Kita sudah jalankan kajian mengenai di mana dan punca kesesakan ini dengan melaksanakan dua hingga tiga alternatif penyuraian. Kita yakin melalui usaha ini dapat mengurangkan 40 peratus kesesakan di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, penganjuran program WTD dan WTC 2025 ini juga akan memberikan pelbagai faedah dan manfaat kepada rakyat Melaka dalam jangka panjang.
“Ia akan mengembangkan sektor pelancongan tempatan dengan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan dan menggalakkan pembangunan infrastruktur pelancongan yang lebih baik.
“Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 di Melaka bukan sahaja akan menjadi acara yang spektakular dan bermakna untuk Malaysia, tetapi juga akan menjadi peluang untuk menyatukan komuniti tempatan dan memperkuat identiti budaya Melaka yang unik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




