GEORGE TOWN: Festival Jalanan sempena Perayaan Warisan George Town 2026 semalam menerima sambutan luar jangka apabila jumlah pengunjung yang hadir pada hari pertama dianggarkan mencecah 30,000 orang iaitu melebihi sasaran awal yang ditetapkan oleh penganjur.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan sambutan yang diterima, tidak mustahil jumlah kehadiran akan terus meningkat sehingga pada hari terakhir festival itu berlangsung yang dijangka Selasa ini.
“Kami menyasarkan 20,000 pengunjung, tetapi, saya fikir jumlahnya sudah mencapai 30,000 orang (hari pertama). Jadi, mungkin jumlah keseluruhan pengunjung nanti antara 40,000 hingga 50,000 orang,” katanya ketika meninjau Festival Jalanan Perayaan Warisan George Town 2026 di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kira-kira 43 pertubuhan komuniti turut mengambil bahagian dalam festival kali ini dan liputan kawasan penganjuran juga telah diperluas susulan sambutan menggalakkan dan lonjakan kehadiran pengunjung yang diterima pada tahun lepas.
“Festival ini memberi peluang kepada pelawat untuk mengalami sendiri pelbagai budaya, persembahan, makanan, ritual serta amalan masyarakat di Tapak Warisan Dunia George Town. Kita berharap program ini terus menyemai minat dan kesedaran tentang pentingnya usaha memelihara warisan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, festival kali ini juga dianggap sebagai signifikan kerana bandar raya George Town kini telah memasuki ulang tahun ke-18 pengiktirafannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Usia 18 tahun itu ialah usia kematangan. Oleh itu, ia menjadi cabaran kepada penganjur dan komuniti untuk tampil dengan program baharu kerana setiap komuniti mempunyai tradisi yang cukup kaya, tetapi, setiap tahun mereka hanya mampu memperkenalkan sebahagian kecil daripada tradisi itu sahaja,” katanya.-UTUSAN




