31 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan di Myanmar selamat dibawa pulang

31 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan di Myanmar selamat dibawa pulang

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon berjaya memudah cara usaha repatriasi 31 warganegara Malaysia yang terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar.

Wisma Putra berkata, kumpulan rakyat Malaysia ini adalah antara beberapa warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras aktiviti penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy baru-baru ini.

Menurutnya, kumpulan terbabit selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada jam 6.50 petang hari ini dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan lanjut.

“Identiti individu terbabit disahkan lebih awal oleh pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semasa operasi repatriasi pada awal Disember.

“Kepulangan mereka tidak dapat diuruskan serta-merta kerana tertakluk kepada undang-undang imigresen tempatan atas kesalahan masuk tanpa izin.

“Bagaimanapun, hasil usaha dan rundingan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok serta bantuan pihak berkuasa Imigresen Thailand kumpulan terbabit dibebaskan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand semalam.

“Kumpulan berkenaan disambut oleh pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan dihantar pulang ke Malaysia melalui jalan darat menerusi Bukit Kayu Hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bantuan konsular yang komprehensif diberikan termasuk pemakluman kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, penyelarasan logistik, penyediaan keperluan asas, serta pengiringan sepanjang perjalanan selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian dalam menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, terutamanya mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian.

“Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon, serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa di Myanmar atas kerjasama teguh dalam memudah cara dan mempercepatkan usaha membawa pulang 31 warganegara Malaysia terbabit,” katanya.

Kementerian ini kekal komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara terpelihara dan, menerusi perwakilan diplomatiknya, akan terus menghulurkan bantuan konsular pada bila-bila masa diperlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top