mhafis@mediprima.com.my
Putrajaya: Seramai 31,287 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam 8,190 operasi yang dilaksanakan
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sehingga 31 Julai lalu.
JIM berkata, daripada operasi yang dilaksanakan itu, 1,225 majikan ditahan kerana menggaji atau melindungi PATI.
Menurutnya, berdasarkan angka ini, secara purata JIM melaksanakan 39 operasi sehari dengan tangjapan 148 PATI dan enam majikan manakala dalam tempoh seminggu sebanyak 264 operasi dengan 1,009 tangkapan PATI serta 40 majikan ditahan.
“Dalam tempoh sebulan pula sebanyak 1,170 operasi membabitkan 4,470 tangkapan PATI dan 175 majikan.
“JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negara bagi membanteras PATI dan melindungi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Ini juga bukan sekadar statistik. Ia juga mencerminkan ketegasan dan iltizam JIM dalam menjunjung nilai akauntabiliti, profesionalisme dan keselamatan nasional seperti yang digariskan di bawah kerangka Madani.
“JIM komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan dan mempercepat reformasi perkhidmatan yang berteraskan integriti demi rakyat dan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd