hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami tidak setuju proses pemulangan wang dibuat dalam masa tiga hingga 12 bulan kerana sudah membuat pembayaran penuh,” kata Ain, 39.
Ain adalah antara 33 mangsa penipuan pakej umrah yang dikendalikan sebuah agensi pelancongan yang mengalami kerugian RM269,000 selepas syarikat berkenaan didakwa menunda tarikh penerbangan ke Makkah yang dijadualkan pada 31 Julai lalu.
Menurutnya yang menetap di Kulim, Kedah, kesemua mangsa adalah ahli keluarganya dan keluarga adik iparnya yang mahu menunaikan ibadah umrah bersama.
“Kami sudah menyelesaikan pembayaran pada 20 Jun lalu namun pihak tersebut memaklumkan tarikh penerbangan ke Jeddah terpaksa ditunda melalui memo pada 18 Julai lalu.
“Mereka memberi alasan bahawa hotel di Makkah batalkan tempahan (bilik) selain kumpulan kami tak ramai sedangkan kami 33 jemaah dan ada lagi satu kumpulan sebelum saya ada 22 jemaah.
“Jadi tiada masalah sepatutnya kalau mahu gabung (kumpulan) tetapi (penerbangan) kumpulan itu juga ditunda dan batal,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dakwanya, syarikat berkenaan juga adalah agensi pelancongan sama yang terpalit isu jemaah umrah dilaporkan terkandas di Jeddah, Arab Saudi, selepas pihak itu gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia, Julai lalu.
Katanya, dia terkejut dan tidak sedap hati apabila melihat berita berkenaan di media sosial dan menghubungi pihak agensi terbabit namun mendakwa tidak menerima maklum balas.
“Ketika itu saya rasa memang sudah tiada harapan kerana agensi itu yang sama, malah mereka juga tidak memberikan sebarang perkembangan kepada kami (mengenai tarikh penerbangan yang ditunda sebelum ini).
“Kami hubungi pekerja agensi dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) mereka tetapi tiada maklum balas, telefon pun tak dapat dan mesej hanya dibalas selang beberapa hari.
“Pada 13 Ogos lalu pihak itu memberikan memo memaklumkan proses pemulangan semula wang itu akan dibuat dalam masa tiga hingga 12 bulan tapi kami tidak setuju kerana sudah membuat pembayaran penuh. Mereka beri alasan (sedang) cairkan (aset) syarikat dan bayaran akan dibuat secara berperingkat.
“Sehingga kini tiada perkembangan daripada pihak itu walaupun kami minta wang dikembalikan lebih awal. Kami memang kecewa dengan tindakan pihak berkenaan,” katanya.
Ain berkata, dia juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada 15 Ogos lalu selain aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd